Search

Saturday, August 23, 2008

Zakat fitrah Sabah RM7.70 - mungkin yang tertinggi

KOTA KINABALU 14 Ogos _ Zakat fitrah di Sabah mungkin yang tertinggi di negara ini selepas Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan kadar RM7.70 bagi setiap umat Islam yang bermastautin di negeri ini.

Pengerusi MUIS, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, kadar tersebut berasaskan sukatan 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk Sabah itu meningkat RM2.50 berbanding RM5.20 seperti yang ditetapkan tahun lalu.

``Kadar ini adalah sesuai dengan keadaan semasa termasuk peningkatan harga minyak, barangan makanan termasuk beras serta kos pengangkutan,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma MUIS, di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa negeri mengumumkan kadar zakat masing-masing yang turut meningkat berbanding tahun lalu. Kadar zakat fitrah bagi negeri Melaka ditetapkan RM6.30, Pahang (RM7.30), Kedah (RM7) dan Perlis (RM6).

Syed Abas berkata, dengan peningkatkan kadar zakat fitrah itu, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan pada tahun ini kira-kira RM7.5 juta berbanding RM5.03 juta tahun lalu.

Menurut beliau, MUIS melantik 31 amil di bawah majlis tersebut serta 1,900 amil tambahan untuk membantu mengutip zakat fitrah di seluruh negeri sepanjang bulan Ramadan nanti.

Katanya, setiap mereka akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelak daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab menipu orang ramai dengan mengutip zakat secara tidak sah.

``Saya juga menyeru kepada semua amil agar menganggap tugas ini sebagai satu amanah Allah dan Rasulnya dan umat Islam keseluruhannya. Jauhkan diri daripada menjadikan tugas ini sebagai medan untuk mengaut keuntungan duniawi.

``Kita juga berharap para amil mempunyai sikap yang telus dan jujur dalam melaksanakan pungutan zakat ini demi memelihara keutuhan institusi zakat serta imej MUIS sendiri,'' katanya.

Beliau memberitahu, pembayaran zakat fitrah tahun lalu melibatkan 976,621 orang meningkat 61,476 pembayar berbanding 915,145 orang atau 6.72 peratus berbanding tahun 2006.

Jelas beliau, sepanjang tahun lalu, pihaknya mengagihkan zakat kepada lapan kategori penerima berjumlah RM18.8 juta dan pada bulan Ramadan sahaja sebanyak 24,848 terdiri daripada golongan fakir, miskin dan mualaf menerima agihan masing-masing.

``Pada tahun ini, kita memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk diagihkan kepada fakir, miskin dan mualaf bagi memastikan mereka turut dapat membuat persiapan menyambut 1 Syawal dalam keadaan selesa dan gembira seperti orang lain,'' katanya.

Mengenai pelantikan amil tambahan, beliau berkata, mereka adalah terdiri daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), penjawat awam, imam, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan golongan orang perseorangan.

Tambah beliau, mereka akan turut dibekalkan dengan resit rasmi zakat fitrah mengikut zon masing-masing dan MUIS akan menjalankan pemantauan bagi membanteras kegiatan amil yang tidak bertauliah


petikan: http://www.sabah-kita.net

No comments: